Oleh : Mustapha Masyhur
Menyeru manusia kepada Allah s.w.t (ad-da’wah ila Allah) adalah kewajipan setiap muslim dan muslimat di setiap masa. Terutamanya di zaman kita ini, ia lebih wajib kerana umat Islam pada hari ini terdedah kepada serangan jahat musuh-musuh Allah s.w.t yang bertujuan mencabut teras dakwah Islam dari jiwa umat Islam. Menyeru manusia kepada Allah s.w.t adalah satu kemuliaan yang besar kepada pendukung dakwah. Firman Allah yang bermaksud:
“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri.” (Fushilat: 33)
Menyeru manusia kepada Allah s.w.t menghasilkan pahala dan ganjaran yang besar dan tidak ternilai sebagaimana pengakuan Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Jika Allah s.w.t memberi hidayah kepada seorang lelaki lantaran anda, itu lebih baik bagimu daripada setiap apa yang disinari matahari.” (Riwayat at-Tabrani)
Menyeru manusia kepada Allah s.w.t dan kepada jalan yang benar, adalah sebaik-baik urusan dan amat perlu diketengahkan, terutama di zaman ini yang berkecamuk dengan pelbagai kefahaman dan ideology, trend semasa yang memperbodoh, menyesat dan menyelewengkan.
Menyeru manusia kepada Allah s.w.t adalah salah satu peringkat (marhalah) yang penting dalam amal Islami yang dilakukan secara bersungguh-sungguh. Ia merupakan marhalah ta’arif (memperkenalkan), yang mendahului marhalah takwin (pembentukan). Di sana terdapat dakwah ‘Ammah (dakwah umum) yang dicernakan melalui pidato, ceramahceramah, majlis-majlis ilmu, media masa seperti buku-buku, risalah-risalah, suratkhabar, majalah, kaset dan lain-lain. Di sana juga terdapat dakwah Fardiah (dakwah individu) yang tidak kurang pentingnya. Perbincangan mengenai dakwah fardiah ini akan kita perkatakan secara mendalam di sini:
Pertama: Mengenai methodologi dan peringkat-peringkat dakwah fardiah.
Kedua: Mengenai keistimewaan dakwah fardiah dan ciri-ciri para daie yang melaksanakan tugas ini.
USLUB DAN MARHALAH
Kita hendaklah memahami realiti muslimin yang menjadi medan dakwah kita (di sini kita hanya membincangkan mengenai urusan mendakwah kaum muslimin supaya kembali kepada Allah). Ini kerana
tuntutan sekarang ialah memindahkan mereka dari realiti hidup yang menguasai mereka pada hari ini. Mereka hidup dengan kefahaman yang silap, malas beramal untuk Islam, bersikap keterlaluan dan lain-lain.
Kita hendaklah memindahkan mereka kepada suasana kehidupan yang baru; kehidupan yang memahami Islam dengan kefahaman yang lengkap sempurna sebagaimana yang dibawa oleh Rasulallah s.a.w.. Kita juga perlu memindahkan mereka kepada memahami tuntutan Islam yang sempurna dan memahami cara merealisasikannya menurut kaedah yang paling sempurna dan betul.
Melalui penelitian dan kajian terhadap masyarakat kita, kita akan mendapati bahawa kelemahan iman atau kelumpuhan iman di jiwa, tidak memahami hakikat Islam dengan sebenarnya dan serangan pemikiran adalah faktor utama yang menyebabkan kaum muslimin berada dalam suasana yang ada pada hari ini. Ia juga merupakan faktor utama yang membolehkan musuh-musuh Allah menjadikan sebahagian kaum muslim sebagai kuda tunggangan mereka untuk memerangi Islam; secara mereka sedari atau tidak.
Janganlah diharapkan kesedaran, tindakan, amal atau hasil yang baik untuk Islam daripada mereka ini, melainkan setelah iman dibangkitkan dari dalam jiwa mereka terlebih dahulu. Dengan itu iman akan mendorong mereka kepada mengenal Allah dan memahami Islam, beramal dan berjuang untuk Islam serta mempertingkatkan diri kepada martabat para ‘amilin yang salih.
Mungkin berfaedah kalau kita peringatkan di sini bahawa beriltizam dengan tertib dalam menaiki tanggi menuju martabat para ‘amilin adalah suatu yang pasti dan maha penting. Ini kerana tanpanya boleh mengakibatkan kemunduran, kejatuhan lau mengambil sikap berdiam diri dan duduk berpangku tangan. Kita akan mulakan dakwah dengan menyeru seorang yang lalai. Kemudian beransur-ansur mempertingkatkannya dari satu marhalah ke satu marhalah. Kita sebutkan berdakwah kepada golongan
ini di sini adalah sebagai menjelaskan bagaimana memulakan dakwah dengan golongan ini. Walau bagaimanapun, pada hakikatnya, terdapat individu yang baik dan lebih mudah menerima dakwah. Orang yang seperti inilah yang patut diberikan keutamaan demi menjimatkan waktu dan usaha.
Kebanyakan muslim pada hari ini sibuk dengan urusan dunia dan lalai daripada beribadat kepada Allah s.w.t dan mentaati perintah-Nya. Mereka seperti sekumpulan manusia yang sedang nyenyak tidur. Di sebelah mereka terdapat api yang marak menyala dan akan membakar mereka sekiranya mereka masih lagi tidur.
Di kalangan manusia yang sedang nyenyak tidur, terdapat mereka yang tidak tidur dan menyedari apa yang berlaku di sekeliling, tetapi tidak mampu memadamkan api yang sedang membakar. Ketika itu kewajipan mereka ialah segera membangunkan manusia yang nyenyak tidur supaya setiap mereka menyedari keadaan masing-masing dan menjauhkan diri daripada api. Sebarang usaha untuk memperingatkan mereka yang tidur dari bahaya api akan menjadi sia-sia, jika dilakukan sebelum mereka terjaga dari tidur. Mereka tidak akan mendengar dan mentaati peringatan itu kerana mereka sedang nyenyak tidur. Jadi mereka mestilah dibangunkan terlebih dahulu barulah diberikan peringatan.
Dalam banyak kes, ketika usaha membangunkan orang yang sedang nyenyak tidur dilakukan, mereka tidak mahu bangun kerana sedang enak tidur dan tidak mahu diganggu. Ini kerana dia masih tidur dan belum lagi sedar. Jika dia benar-benar sedar dari tidurnya dan melihat api yang sedang membakar, nescaya dia bersegera menyelamatkan diri. Kata-katanya bahawa dia telah sedar tidak boleh dipercayai sepenuhnya kecuali apabila diikuti dengan tindakan menjauhkan diri dari api itu.
Demikianlah sikap daie terhadap mad’unya (orang yang diseru). Dia mesti bersabar di dalam usahanya menyeru mereka kepada Islam. Dia mesti sanggup menghadapi tindak balas mad’unya seperti perbuatan jahat dan cercaan. Dia mesti mengharapkan balasan usahanya daripada Allah dan mengikuti jejak langkah junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. Baginda menyeru menusia dan terdedah kepada gangguan dan cercaan. Baginda tetap bersabar dan terus meneruskan dakwah sambil berdoa yang bermaksud:
“Wahai Tuhanku! Berilah hidayah kepada kaumku kerana sesungguhnya mereka tidak mengerti”.
Di dalam pengertian ini al-Iman asy-Syahid Hassan al-Banna berkata:
“Jadilah kamu ketika menyeru manusia seperti pokok buah-buahan; mereka membalingnya dengan batu danvdia menggugurkan buah kepada mereka”.
Marhalah Pertama
Marhalah pertama ialah mewujudkan hubungan dan perkenalan dengan mad’u (taaruf). Di marhalah ini, anda hendaklah benar-benar merasakan kepada dirinya bahawa anda mengambil berat tentang dirinya dan bertanya khabar apabila dia tidak ada dan lain-lain. Ketika itu anda tidak membincangkan apa-apa tajuk mengenai dakwah sehingga hatinya benar-benar terbuka dan bersedia untuk memahami apa yang anda perkatakan mengenai dakwah dan mengambil pengajaran daripadanya.
Penerimaannya terhadap dakwah yang anda kemukakan adalah berkadar dengan kejayaan anda memberikan perhatian dan memenangi hatinya di marhalah ini. Sebarang percubaan untuk berbincang mengenai apa-apa tajuk dakwah sebelum malalui marhalah ini mungkin akan menjadi faktor penolakannya. Marhalah ini mungkin memakan masa beberapa minggu.
Marhalah Kedua
Marhalah kedua ialah marhalah membangunkan iman yang lesu di jiwa mad’u. Di peringkat ini perbincangan mengenai persoalan keimanan tidak perlu dilakukan secara langsung. Adalah lebih baik jika perbincangn mengenainya mengambil pendekatan secara tidak langsung seolah-olah tanpa disengajakan, dengan cara mengambil kesempatan daripada melihat burung, tumbuhan, serangga atau mana-mana makhluk Allah. Di kesempatan tersebut, perbincangan mengenai kekuasaan kekuasaan Allah,
kehalusan dan keagungan ciptaan-Nya dilakukan. Sebagai contohnya, dijelaskan kepada mad’u bagaimana tumbuhan tersebut tumbuh daripada tanah dan air yang sama. Ia melahirkan bahagian-bahagian yang berlainan seperti dahan, daun, bunga, buah, warna, bau dan rasa sedangkan ia disiram
dengan air yang sama dan ditanam di tanah yang sama.
“Begitulah perbuatan Allah s.w.t yang membuat dengan kukuh tiap-tiap sesuatu”.
(Maksud an-Naml: 88)
Apakah ahli sains dengan teknologi canggih yang diciptanya mampu mencipta sebiji gandum (sebagai contoh) di makmal mereka; apbila ditanam dan disiram, akan menumbuhkan batang gandum? Sesungguhnya mereka tidak akan mampu melakukannya. Ini kerana menumbuhkan benih ciptaan Allah adalah rahsia Allah yang hanya diketahui-Nya. Manusia tidak mampu untuk menumbuhkan benih ciptaannya. Begitu juga sekiranya seluruh penduduk dunia bersatu untuk mencipta seekor lalat, mereka tidak akan mampu melakukannya. Ini kerana mencipta dan menghidupkan adalah hakkepunyaan Allah semata-mata.
Begitulah seterusnya. Melalui perbicangan seumpama ini, dilakukan banyak kali dan memikirkan keunikan ciptaan Allah, Insya Allah akan menjadikannya mengkagumi, mengagungi dan menyucikan Allah bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud:
“Dan mereka memikirkan tentang perciptaan langit dan bumi seraya berkata: “Ya Tuhan kami! Tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka”. (Ali Imran: 191)
Ayat ini menegaskan bahawa memikirkan penciptaan Allah menjadikan seseorang mengkagumi dan mengagungi Allah serta mendorong kepada mengingati hari akhirat, mengingati pembalasan yang akan diterima di sana, dan mendorong seseorang mukmin untuk memohon kepada Allah supaya menyelamatkannya daripada azab neraka.
Begitulah, dengan membangkitkan keimanan kepada Allah, keimanan kepada Keesaan-Nya, keimanan kepada sifat kudrat dan kesempurnaan-Nya, hati akan mula hidup dengan mengenali Allah (Makrifatullah), sekedar daripada kealpaannya dan bersedia untuk menyempurnakan keimanannya kepada hari akhirat dengan segala yang ada padanya; kebangkitan dari kubur, hisab dan balasan. Begitu juga, dia akan memahami tujuan kita diciptakan oleh Allah iaitu untuk beribadah kepada-Nya semata-mata. Dia tidak dapat menggambarkan bagaimana Allah menciptakan kita dengan siasia;
tanpa tujuan.
Boleh jadi berguna kalau kita menjelaskan kepadanya (mad’u) persoalan kemuliaan yang Allah berikan kepada anak cucu Nabi Adam a.s; kemuliaan hasul daripada pemberian roh kepada mereka. Kebanyakan manusia alpa dan lupa terhadap kehidupan di aspek ini, dan mereka hanya hidup di aspek penciptaan mereka daripada tanah dan memenuhi tuntutan badan. Mereka lupa dan alpa bahawa aqidah yang benar dan sejahtera adalah tuntutan asasi kepada roh; padanya terdapat kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Begitulah seterusnya, perbincangan berlegar di sekitar persoalan keimanan. Ketika persoalan ini hidup di jiwanya, dia akan mula menilai semula kehidupannya sebelum ini (muraja’ah). Dia akan merasakan bahawa sekiranya dia terus berada di tahap lama; alpa, mencuaikan kewajipan, melakukan maksiat dan tidak mentaati Allah, dirinya akan terdedah kepada azab Allah di hari akhirat; hari yang tiada tempat lari dan penyelamat. Ketika itu, dia akan mudah dipimpin dan diberi tunjuk ajar supaya berpegang teguh keapda ajaran Islam.
Marhalah Ketiga
Di waktu itu, bermulalah marhalah ketiga di dalam dakwah. Di marhalah ini kita membantunya memperbaiki dirinya dengan cara mengajarnya perkara-perkara ketaatan kepada Allah dan ibadat-ibadat fardhu, membiasakan dirinya melakukannya secara berdisplin, menjauhi maksiat dan berakhlak dengan akhlak Islam.
Amatlah baik sekiranya dia dibekalkan dengan buku-buku yang membincangkan persoalan aqidah, ibadat dan akhlak yang boleh dibaca dan difahaminya. Begitu juga dengan mengajak dia menghadiri majlis-majlis ilmu dan ceramah-ceramah, mengajaknya berkenalan dengan orang-orang salih dan menjauhkannya daripada orang-orang jahat. Begitulah seterusnya, suasana yang salih terus dibina untuk membantu menyempurnakan keperibadian Islamnya. Kita mestilah sabar dan sentiasa mengikuti
perkembangan dirinya sehingga dia benar-benar teguh berada di atas jalan ini (Islam). Dia tidak sepatutnya dibiarkan dalam jangka masa yang lama tanpa diikuti perkembangan dirinya dan tanpa bimbingan. Ini dilakukan agar dia mampu meneruskan perjalanan di jalan Islam dan menjauhi faktor yang menyebabkannya mundur, malas dan cuai. Usaha-usaha ini akan memakan masa beberapa minggu atau beberapa bulan sehingga keperibadian Islamnya benar-benar mantap tanpa mudah digoyang.
Di sini kita mengatakan; Di sana terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan di marhalah ini. Walau bagaimanapun, ia boleh dilakukan di marhalah yang keempat yang akan datang. Itu pun setelah berhasilnya marhalah pertama iaitu mengadakan hubungan baik dengannya yang membolehkan perbincangan terus dilakukan dan kewajiban dakwah dapat dilaksanakan.
Marhalah Keempat
Marhalah keempat ialah menjelaskan pengertian ibadah yang syumul tanpa membataskannya kepada solat, puasa, zakat dan haji sahaja. Tetapi ia merangkumi seluruh aspek kehidupan; makan, minum, pakaian, ilmu, amal, perkahwinan, riadhah, memelihara anak-anak dan lain-lain. Itu semua adalah
ibadah kepada Allah s.w.t apabila mencukupi dua syarat: Niat kerana Allah s.w.t dan cara melaksanakannya sesuai dengan syariat Islam.
Syarat Pertama Niat. Semua yang dilakukan hendaklah bertujuan untuk membantu kita melaksanakan ketaatan kepada Allah dan merealisasikan tujuan Allah menjadikan kita sebagai khalifah di atas muka bumi. Oleh itu, kita makan dan minum adalah supaya kita bertenaga untuk mentaati Allah dan beribadat kepada-Nya. Dengan itu makan dan minum kita menjadi ibadat yang akan diberi ganjaran pahala. Kita belajar untuk kepentingan kaum muslimin dan negara Islam, maka menuntut ilmu menjadi ibadat dan setiap tenaga dan masa yang kita curahkan akan diberi ganjaran pahala. Kita bekerja di mana-mana bidang untuk kepentingan umat Islam dan negara Islam, dan mendapatkan rezeki yang halal untuk keperluan hidup, maka kerja kita menjadi ibadah. Kita berkahwin untuk menjaga diri daripada maksiat dan membina rumah tangga muslim yang menjadi tiang seri kepada pembinaan negara Islam serta melahirkan zuriat yang salih yang dibentuk berdasarkan prinsip-prinsip Islam; melalui mereka, Allah akan memuliakan agamanya, maka perkahwinan kita menjadi ibadat, penat lelah mendidik anak-anak menjadi ibadat; semuanya akan mendapat balasan pahala daripada Allah. Kita bersenam untuk menguatkan tubuh badan supaya kita mampu memikul bebanan dakwah dan berjihad di jalan-Nya, maka bersenam menjadi ibadat.
Begitulah seterusnya, dunia yang luas ini menjadi mihrab (tempat beribadat); padanya kita mengabdikan diri kepada Allah dengan setiap amal dan usaha yang dilakukan. Semuanya menjadi ibadat hasil daripada niat yang benar semata-mata kerana Allah s.w.t. Syarat Kedua: Segala usaha dan amal yang kita kerjakan mestilah sesuai dengan syariat Allah s.w.t dan ajaran Islam. Oleh itu, kita tidak boleh makan dan minum kecuali yang halal. Kita tidak berpakaian kecuali dengan pakaian yang halal. Kita tidak melakukan sebarang amal dan usaha kecuali ia selari dan sesuai dengan syariat Allah s.w.t supaya ia menjadi ibadat yang diterima oleh Allah s.w.t. Ini kerana, tidak munasabah kita makan makanan yang haram dengan tujuan menguatkan diri bagi melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t.
Begitulah seterusnya, setiap muslim di marhalah ini mengikat seluruh kegiatan hidupnya dengan syariat Allah dan menjadikannya sebagai ibadat. Mereka tidak beribadah dengan hanya melakukan empat perkara fardhu yang sememangnya diketahui umum.
Marhalah Kelima
Di marhalah ini, kita menjelaskan kepada mad'u bahawa agama kita (Islam) tidak berpada dengan kita menjadi muslim pada diri sendiri sahaja; dengan hanya melaksanakan ibadat-ibadat tertentu, berakhlak dengan akhlak yang baik dan tidak menyakiti orang lain; tidak lebih daripada itu. Malah Islam adalah agama bermasyarakat. Islam adalah sistem hidup, pemerintahan, perundangan, daulah, jihad dan ummah. Inilah fahaman yang betul terhadap Islam. Fahaman yang mengajar kita berbagai tanggung jawab dan kewajipan. Kita wajib melaksanakannya sebagai menyahut perintah Allah supaya masyarakat dapat dibina di atas prinsip-prinsip Islam di semua aspek kehidupan; politik, ekonomi, perundangan, kemasyarakatan dan lainlain.
Kita juga mesti memahami bahawa di antara kewajipan kita terhadap Islam ialah berusaha dan berjuang bersungguh-sungguh supaya Islam berkuasa di muka bumi. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
"…sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) agama itu hanya untuk Allah semata-mata…"(al-Baqarah: 193)
Oleh itu, kita wajib menyampaikan seruan agama ini kepada manusia seluruhnya. Seseorang muslim tidak mungkin hidup sebagai muslim dengan keIslaman yang sahih dan sempurna sekiranya dia mengasingkan diri daripada saudara-saudara muslim yang lain dan tidak memperdulikan apa yang berlaku dan dihadapi oleh mereka (saudara-saudara muslim) di berbagai ceruk rantau di muka bumi; tekanan, gangguan, fitnah dan serangan dari musuh-musuh Allah dan musuh-musuh Islam. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Barangsiapa yang tidak memperdulikan urusan muslimin maka dia bukanlah dari mereka".
Di sekitar pengertian ini perbincangan dilakukan sehingga melahirkan perasaan tanggungjawab umum (mas'uliah amah) terhadap Islam dan muslimin di dalam dirinya dan dia tidak lagi mengasingkan diri. Selepas itu dijelaskan kepadanya tuntutan marhalah dakwah Islam pada hari ini yang mewajibkan umat Islam berusaha menegakkan daulah Islam dan mengembalikan khalifah Islam yang telah diruntuhkan oleh musuh-musuh Islam.
Kita terangkan kepada mad'u betapa besarnya musibah yang dihadapi oleh dunia Islam; Negara dipecah-pecahkan, umat Islam bertelagah sesama sendiri, musuh-musuh menyerang, aqidah orang-orang Islam tergugat dan digugat, masjid-masjid dirosakkan, kehormatan mereka dicabul, harta kekayaan dirompak dan anak-anak muslimin dibentuk di luar landasan Islam. Semua ini berlaku akibat tidak adanya Daulah Islamiah; Daulah Islamiah yang mampu menyerang balas musuh-musuh Islam, menghalang mereka daripada melakukan serangan, menyatu-padukan umat Islam dan melaksanakan syariat Islam di kalangan mereka.
Mad'u juga mesti dijelaskan bahawa tanggungjawab menegakkan Daulah Islamiah bukan hanya tanggungjawab pemerintah dan ulama sahaja. Malah, ia adalah tanggungjawab setiap muslim dan muslimah yang hidup di marhalah dakwah ini (marhalah yang mewajibkan penegakan Daulah
Islamiah). Mad'u juga mesti dijelaskan bahawa seluruh umat Islam berdosa sekiranya mereka tidak berusaha untuk menegakkan Daulah Islamiah.
Begitulah seterusnya, perbincangan diteruskan untuk membangkitkan perasaan tanggungjawab tersebut. Perasaan tanggungjawab yang mendorongnya berfikir bersungguh-sungguh mencari jalan bagaimana melaksanakannya dan menunaikan tuntutannya.
Marhalah Keenam
Di ketika itu, datanglah marhalah keenam iaitu mejelaskan kepada mad'u bahawa kewajipan ini tidak mungkin dapat disempurnakan secara bersendirian (fardi); setiap muslim tidak mampu menegakkan Daulah Islamiah dan mengembalikan khalifah Islamiah secara bersendirian. Malah usaha tersebut mesti dilakukan melalui Jemaah (organisasi); Jemaah yang akan menyatukan usaha-usaha fardi demi melaksanakan tanggungjawab yang besar ini. Kaedah syara' yang bermaksud:
"Apabila sesuatu kewajiban tidak dapat disempurnakan kecuali dengannya, maka dia menjadi wajib"
Oleh itu, selagi kewajipan menegakkan Daulah Islamiah tidak dapat disempurnakan kecuali dengan adanya Jemaah, maka mewujudkan jemaah adalah wajib. Tidak dapat dibayangkan, bagaimana seorang individu boleh menjadi sempurna keIslamannya sedangkan dia hidup seorang diri tanpa melibatkan diri dengan Jemaah yang bertujuan melaksanakan prinsip-prinsip Islam dan kewajibannya; prinsip dan kewajibannya yang terpenting pada masa kini ialah usaha yang berterusan dan bersungguh-sungguh untuk menegakkan Daulah Islamiah.
Ini adalah perkara pokok dan asasi. Kebanyakan muslimin tidak merasakan keperluan yang mendesak dalam mewujudkan Jemaah, ataupun menggabungkan diri dalamnya. Mereka bersikap demikian kerana tidak mahu memikul tanggungjawab, ataupun lebih mengutamakan keselesaan hidup dan menjauhkan diri daripada perkara yang tidak disukai yang mungkin terpaksa dihadapi apabila dia menggabungkan diri ke dalam Jemaah. Berdasarkan penjelasan betapa besarnya tanggungjawab terhadap Islam yang tepaksa dipikul dan perlaksanaan tanggungjawab ini tidak dapat disempurnakan kecuali dharurinya Jemaah, maka mad'u akan meyakini dharurinya berjemaah sekalipun terpaksa membayar dengan harga yang mahal. Lebih-lebih lagi selepas dijelaskan betapa besarnya pahala dan faedah yang merupakan kesan langsung daripadanya.
Marhalah Ketujuh
Selepas itu, datanglah marhalah ketujuh iaitu menjawab soalan yang bermain di minda mad'u: Jemaah manakah yang patut dianggotai? Marhalah ini adalah penting tetapi sensitif. Ia memerlukan hikmah dan kebijaksanaan, penerangan yang jitu dan memuaskan. Ini kerana, di medan terdapat pelbagai jemaah yang bergerak dan semuanya mengajak para pemuda menganggotainya. Semuanya membawa bendera Islam, mempunyai lambing-lambang dan cara-cara tersendiri untuk menarik para pemuda.
Perkara yang mesti difahami oleh setiap pemuda muslim ialah persoalan amal Islami adalah persoalan asasi dan penentu masa depan. Dia mestilah teliti dalam memilih jalan perjuangan mana yang patut dilalui dan diyakini selamat. Dia tidak sepatutnya terikut-ikut atau tergesa-gesa dalam memilih Jemaah yang perlu dianggotainya untuk merealisasikan prinsip-prinsip Islam. Ini kerana, dia hanya memiliki satu umur dan satu nyawa.
Oleh itu, janganlah dipersiakan begitu saja. Sebaliknya, dia hendaklah mengkaji, berbincang dan memperuntukkan masa dan tenaga yang mencukupi untuk mencari kepastian. Sesungguhnya ketenangan jiwa (melakukan sesuatu dengan yakin akan kebenarannya) adalah lebih baik daripada memilih jalan perjuangan yang salah dan bertindak tanpa kepastian.
Perlu disebutkan di sini bahawa untuk merealisasikan tuntutan Islam dan menegakkan Daulah Islamiah, kita mesti mengikuti jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Dalam menegakkan Daulah Islamiah yang pertama, Baginda s.a.w telah memantapkan aqidah Islam ke dalam jiwa mukminin dan mendidik mereka di rumah al-Arqam berdasarkan tuntutan al-Quran dan madrasah Rasulullah s.a.w. Melalui madrasah inilah, lahirnya Rijalul Aqidah (pendokong-pendokong aqidah); aqidah mengawal diri mereka, mempengaruhi perasaan dan menguasai jiwa mereka. Aqidah mejadi segala-segalanya dalam kehidupan mereka. Kerana aqidah, mereka mengorbankan masa, tenaga, kesihatan, pemikiran, harta dan jiwa raga.
Kerana aqidah, mereka sanggup bertahan, menanggung segala bentuk penyeksaan dan menhadapi risiko. Mereka tidak berundur walau selangkah. Mereka menyebarkannya, mempertahankannya dan berjihad dengan harta dan jiwa raga. Mereka adalah tiang-tiang seri utama yang menjadi asas penegakkan Daulah Islamiah yang pertama. Kemudian Baginda s.a.w mempersaudarakan sesama mereka dan menyusun mereka. Baginda s.a.w mengambil sumpah setia dan perjanjian dengan mereka untuk mempertahankan Islam menggunakan segala apa yang mereka miliki. Ketika itu mereka mendapat kemenangan dan kekuasan dengan kelebihan yang diberikan oleh Allah.
Dengan ini, Rasulullah s.a.w telah berjaya mewujudkan kekuatan aqidah, kemudian kekuatan kesatuan dan akhirnya kekuatan tangan dan persenjataan. Ini kerana, apabila terbentuknya kumpulan mukmin yang mantap dan bersatu, maka musuh-musuh Allah mampu dihadapi dan permusuhan mereka dapat dihalang dengan kekuatan sesuai dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud:
"Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya. Dan sesungguhnya Allah s.w.t benar-benar berkuasa menolong mereka". (al-Hajj:39)
Adapun, sebelum terbentuknya kumpulan mukmin yang mantap dan bersatu iaitu ketika bilangan kaum muslimin sedikit, Rasulullah s.a.w berpesan supaya mereka besabar menempuh dugaan dan tetap bersama kebenaran yang mereka imani, serta berterusan menyampaikan dakwah Islam kepada orang lain. Baginda tidak meminta mereka menghadapi kebatilan dengan menggunakan kekuatan.
Oleh itu, jemaah yang melalui jalan yang sama (jalan yang dilalui orang Rasulullah s.a.w) semestinya menjadi pilihan untuk dianggotai dan didukungi. Mana-mana jemaah yang tidak memberikan keutamaan kepada persoalan tarbiah dan persediaan, mengatasi keutamaan keapda persoalan kesatuan dan hubungan dan juga mengatasi keutamaan kepada persoalan penggunaan kekuatan, maka ia adalah jemaah yang memperjudikan nasib dan masa depannya, dan membahayakan amal Islami. Oleh itu, usaha untuk memegang tampuk kekuasaan dan pemerintahan menggunakan kekuatan dan kekerasan dengan mengabaikan tarbiah dan kesatuan, ataupun melalui parti-parti politik yang mengabaikan tarbiah adalah usaha yang merbahaya.
Malah mampu melumpuhkan amal Islami sebelum ia lahir dan berkembang subur secara tabi'e untuk membentuk kumpulan yang mantap (qaedah sulbah). Ketika itu usaha mewujudkan kumpulan yang mantap tidak dapat bertahan dan diteruskan. Kalau begitu, semestinya diwujudkan kumpulan yang mantap yang mendukung pemerintahan Islam, melindungi dan mempertahankannya. Mereka tidak akan berkompromi dalam masalah ini. Begitulah, Sesungguhnya pembinaan dimulakan dari asas, bukannya dari puncak atas. Semakin besar dan tinggi bangunan yang hendak dibina, maka semakin luas dan dalam asas yang diperlukan. Begitulah juga dengan bangunan yang kita ingin bangunkan iaitu Daulah Islamiah Alamiah (negara Islam sejagat). Ini kerana dakwah kita adalah dakwah alamiah dan musuh kita juga adalah sejagat. Manakala tempoh pembinaannya pula diukur berdasarkan umur dakwah bukan diukur dengan umur individu.
Dengan kelebihan yang diberikan oleh Allah, kita dapati al-Imam as- Syahid Hassan al-Banna telah mengambil jalan ini daripada sirah Rasulullah s.a.w. Beliau menegaskan betapa dharurinya dipersiapkan individu muslim sebagai pendokong aqidah, keluarga muslim dan masyarakat muslim yang menjadi kumpulan mantap kepada pembinaan kerajaan, kemudian Daulah Islamiah dan Khilafah Islamiah dengan izin Allah.
Mad'u juga mesti dijelaskan bahawa jemaah yang hendak dianggotai dan didukungi mestilah jemaah yang mengambil Islam secara syumul dan menyeluruh; aqidah, ibadah, akhlak, perundangan, pemerintahan, jihad dan seluruh aspek kehidupan. Ia tidak boleh mementingkan beberapa aspek dan meninggalkan aspek yang lain dengan alasan keselamatan atau apa-apa sebab yang lain.
Mad'u juga mesti dijelaskan bahawa jemaah yang diharapkan untuk melaksanakan kewajiban dan perlu dianggotai dan didukungi mestilah yang memiliki kemampuan di peringkat antarabangsa. Ini kerana mereka mempunyai faktor-faktor pembinaan kumpulan yang mantap untuk Daulah Islamiah 'Alamiah, bukan hanya sekadar pemerintahan setempat di mana-mana Negara. Jemaah yang berpengalaman dan terbukti mampu menghadapi tribulasi adalah jemaah yang paling layak untuk diyakini kemampuannya mencapai matlamat, mendatangkan hasil dengan segera dan pandai menggunakan masa dan tenaga dengan sebaik mungkin. Kefahaman dan tindak tanduknya pula jauh daripada kecuaian dan keterlaluan, jauh daripada penyelewengan dan mengambil beberapa bahagian dan meninggalkan beberapa bahagian yang lain, selari dengan petunjuk Rasulullah s.a.w dan salafussalih.
Jemaah tersebut juga mestilah jemaah yang tersusun rapi dan bersatupadu serta berjalan mengikut perancangan yang rapi. Ia bukanlah jemaah yang kucar-kacir (perjalanannya tidak mengikut peraturan) atau bergerak secara bidan terjun tanpa perancangan dan penyusunan. Mad'u juga mesti dijelaskan bahawa perpecahan dan pengagihan tenaga kepada kumpulan-kumpulan kecil adalah satu kesalahan dan merbahaya. Pada dasarnya, sesiapa yang ingin bekerja (menyumbang) untuk Islam hendaklah bergabung dengan jemaah yang mempunyai ciri-ciri yang telah disebutkan di atas. Dia tidak boleh mengangkat bendera baru ataupun membantu jemaah baru yang setahun jagung pengalamannya. Ini dilakukan supaya dia tidak membantu usaha-usaha memecah-mecahkan tenaga dan usaha. Dia juga tidak boleh memisahkan diri daripada jemaah besar yang berpengalaman kecuali apabila dia mendapati jemaah tersebut pada keseluruhannya terdapat kefasikan atau kesesatan.
Begitulah seterusnya. Berdasarkan penjelasan secara terperinci di marhalah ini, maka setiap peribadi yang bersikap benar dan ikhlas akan mendapati bahawa ciri-ciri yang mesti ada pada jemaah pilihannya telah dimiliki oleh Jemaah Ikhwan Muslimin. Inilah kelebihan dan taufiq yang diberikan oleh Allah.
{ 0 komentar... read them below or add one }
Posting Komentar